"Jadi di sini mak nak kamu faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita beritahu pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah S.W.T., kerana itu kita mencintai si DIA. Letakkan Allah S.W.T. sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak ayah adalah kerana mencintai Allah S.W.T. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beritahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah S.W.T. semata-mata."
"Hati kita ini, walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. Hanya Allah S.W.T. yang boleh memegangnya. Sebab itu kita kena dekatkan diri dengan Allah S.W.T.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnya bercinta. Masa itu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah S.W.T. Bercinta dengan Allah S.W.T. sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pengalaman bercinta dengan lelaki kaya, rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh, cacat dan dungu. Betapa nikmatnya cinta Allah S.W.T., hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti."
"Walau siapapun jodoh yang Allah S.W.T. hantarkan untuk kamu, terimalah dengan hati yang redha. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kamu sayang, tak jadi hal lah. Tapi kalau dapat yang kamu tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah S.W.T. ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kamu ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kamu sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kamu sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kamu. Alangkah bertuahnya kamu kalau kamu mengerti setiap pemberian Allah S.W.T. dan belajar untuk bersyukur," sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri..
Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat. "Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah S.W.T. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ini pada Allah S.W.T. untuk DIA pelihara," emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya..
InsyaAllah.. kelak sangat ingin setabah dan setenang emak. Apapun diri kita ini, tetap milik-Nya.. Siapalah kita untuk menilai diri sendiri dan membangga diri kerana di dunia tiada siapa yang kekal abadi. Dunia adalah satu persinggahan “peperiksaan” untuk kita lulus cemerlang di akhirat sana yang kekal abadi..
Ya Allah.. jika dia adalah pilihan hati yang Engkau tetapkan padaku.. Engkau redhai dan rahmatilah perhubungan kami hingga ke syurga kelak.. Kasihmu Amanahku.. Amin..
No comments:
Post a Comment