Alhamdulillah..
Berjaya kita semua mencapai seminggunya berpuasa dalam bulan Ramadhan yang mulia ini..Minggu yang penuh keberkatan.. Penulis amat bersyukur pada-Mu.. Ya Allah.. memberiku pinjaman nyawa yang amat berharga ini untuk beribadah kepada-Mu..
Minggu ini juga membawa banyak makna pada penulis kerana minggu ini juga penulis diberi peluang oleh Allah S.W.T. untuk menziarahi kubur dan keluarga arwah.. Tenangnya penulis dalam memohon rahmat dan redha-Mu.. Ya Allah.. Tenangkan hati ini.. Ku tahu.. perancangan-Mu teramat dan paling baik….
Ku tahu setiap manusia memang tidak dapat lari daripada kebahagiaan dan kedukaan yang Allah S.W.T kurniakan. Cuma yang membezakan tahap keimanan seseorang itu sahaja..
Pada bulan baik ini.. penulis hendak berkongsi cerita juga.. hendak dijadikan cerita.. Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan bertanya mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehidupan. Setiap kali satu masalah selesai, timbul pula masalah baru. Masalah baru selesai, timbul lagi masalah yang lebih baru.. subhanallah..
Ayahnya yang bekerja sebagai tukang masak membawa anaknya itu ke dapur. Dia mengisi tiga buah periuk dengan air dan menjerangkannya di atas api. Setelah air di dalam ketiga periuk tersebut mendidih, dia memasukkan lobak merah di dalam periuk pertama, telur dalam periuk kedua dan serbuk kopi dalam periuk terakhir. Dia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar sambil memikirkan apa yang sedang dilakukan oleh ayahnya. Setelah 20 minit, si ayah mematikan api.
Dia menyisihkan lobak dan menaruhnya dalam mangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya dalam mangkuk yang lain dan menuangkan kopi di mangkuk lain.
Lalu dia bertanya kepada anaknya, "Apa yang kau lihat, nak?" "Lobak, telur dan kopi", jawab si anak. Ayahnya meminta anaknya merasa lobak itu. Dia melakukannya dan berasa bahawa lobak itu sedap dimakan.
Ayahnya meminta mengambil telur itu dan memecahkannya.. Setelah membuang kulitnya, dia dapati sebiji telur rebus yang isinya sudah keras.
Terakhir, ayahnya meminta untuk merasa kopi. Dia tersenyum ketika meminum kopi dengan aromanya yang wangi. Setelah itu, si anak bertanya, "Apa maksudnya semua ini, ayah?" Ayah menerangkan bahawa ketiga-tiga bahan itu telah menghadapi kesulitan yang sama, direbus dalam air dengan api yang panas tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza.
Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan mudah dimakan. Telur pula sebelumnya mudah pecah dengan isinya yang berupa cairan.. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras.
Serbuk kopi pula mengalami perubahan yang unik. Setelah berada di dalam rebusan air, serbuk kopi mengubah warna dan rasa air tersebut. Lalu si ayah bertanya kepada anaknya tersebut."Kamu termasuk golongan yang mana? Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang bakal kamu lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan itu mendatangimu, bagaimana harus kau menghadapinya ?
“Apakah kamu seperti lobak, telur atau kopi ?" tanya ayahnya.
Bagaimana dengan kita ? Apakah kita adalah lobak yang kelihatan keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kita menyerah menjadi lembut dan kehilangan kekuatan. Atau, apakah kita adalah telur yang pada awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang rapuh? Namun setelah adanya kematian, kekecewaan, perpisahan atau apa saja cabaran dalam kehidupan akhirnya kita menjadi menjadi keras dan kaku.
Dari luar kelihatan sama, tetapi apakah kita menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku? Atau adakah kita serbuk kopi? Yang berjaya mengubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasa yang maksimum pada suhu 100 darjah Celcius.
Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi akan terasa semakin nikmat. Jika kita seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk atau memuncak, kita akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan di sekitar kita juga menjadi semakin baik. Samalah halnya dengan serbuk kopi yang berjaya mengubah air panas yang membakarnya menjadikan ia lebih sedap dan enak untuk diminum.
Jadi,antara lobak, telur dan kopi, kita yang mana? Sebaik-baik kejadian di muka bumi ini ialah manusia.Yang diciptakan oleh Allah S.W.T. dalam keadaan yang paling sempurna. Dikurniakan tubuh badan yang mampu memberi pergerakan kepada kita,dikurniakan otak dan akal fikiran untuk menentukan pertimbangan yang baik mahupun sebaliknya, diberikan hati serta perasaan untuk mengasihi dan menyayangi sesama makhluk di bumi ini…
Namun pernahkah kita bersyukur kepada Maha Pencipta?
Pernahkah kita memanfaatkan segala kurniaan-Nya membawa manusia lain ke jalan yang diredhai-Nya?
Bersama dengan penulis, kita renungkan.. Tetapi, pastikan disusuli dengan tindakan.. Ayuh! Bulan yang mulia ini kita tetapkan azam baru.. dan istiqamahkan..insyaAllah..
Sirru’ala barokatillah…
No comments:
Post a Comment