Ketenangan Hati Bersama Islam

Monday, July 26, 2010

Nisfu Sya'ban: Berkatilah Kami Ya Allah.


MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN


Berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiah di dalam kitabnya Majmuk al-Fatawa:
Apabila seorang manusia itu menunaikan solat pada malam Nisfu Syaaban sama ada secara individu atau berjemaah secara khusus sepertimana yang dilakukan oleh sebilangan masyarakat Islam maka ia adalah baik.

Oleh itu, para tabi’e ada menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan dua cara:

Pertama: Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.

Kedua: Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Adapun cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidaklah pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi’e dari penduduk Syam. Di kebanyakkan negara Arab dan Nusantara kebiasaanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban dengan setiap satu bacaan dengan niat tersendiri sepertimana yang pernah diajarkan oleh para tok guru terdahulu. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya memandangkan dilakukan oleh para ulama zaman berzaman sejak dari dahulu lagi hinggalah kini.

Amalan seperti ini tidaklah dinisbahkan kepada Rasulullah S.A.W. sendiri akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadat tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Adapun kebanyakkan masyarakat sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan membaca al-Quran seperti membaca surah Yasin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi’e itu dan dilakukan juga oleh para ulama’.

Marilah bersama-sama kita memperbanyakkan amalan pada bulan Sya’ban ini kerana padanya terdapat banyak kelebihan dan keutamaan yang mesti direbut. Tulisan ringkas ini adalah sekadar untuk mengingatkan mana-mana yang terleka dan alpa dalam menjalani hidup ini sebagai hamba Allah S.W.T. yang amat kerdil lagi hina. Saya juga tidak bercadang untuk memanjangkan tulisan ini dengan perbincangan berbentuk khilaf yang boleh memeningkan kepala masyarakat. Semoga kita semua berada di dalam redha Allah S.W.T. setiap masa. InsyaAllah…

Sebahagian ahli hikmah menyatakan; "Bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa."

Selamat beramal dengan ketenangan hati.. InsyaAllah..dipertemukan dengan Ramadhan kelak..



No comments: