Ketenangan Hati Bersama Islam

Tuesday, August 31, 2010

Menyingkap Lailatul Qadar


Firman Allah S.W.T. bermaksud:

“Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan.” (al-Qadr:1)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah S.W.T. mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah S.W.T. memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud:

“Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan.” (al-Qadr:3)

Ada beberapa riwayat yang menceritakan sebab Allah menurunkan malam al-Qadar untuk umat Muhammad S.A.W.

Menurut Imam Malik, Rasulullah S.A.W. melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah S.W.T. memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah S.W.T. menurunkan Lailatul Qadar.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhammad S.A.W. kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah S.W.T. mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad S.A.W. sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadhan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadhan iaitu pada malam 27 Ramadhan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka’ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu’awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud.;

“Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27.”

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadhan. Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.;

“Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadhan.”

Pada penulis, perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadhan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadhan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadhan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Penulis harap kita bersama meningkatkan amal ibadat pada 10 malam yang terakhir ini. Pohonlah kita pada Yang Esa agar diampunkan segala dosa dalam rahmat dan redha-Nya.. InsyaAllah…

Sirru ‘ala barokatillah…



Monday, August 16, 2010

Yang Mana Satukah Kamu?


Alhamdulillah..


Berjaya kita semua mencapai seminggunya berpuasa dalam bulan Ramadhan yang mulia ini..Minggu yang penuh keberkatan.. Penulis amat bersyukur pada-Mu.. Ya Allah.. memberiku pinjaman nyawa yang amat berharga ini untuk beribadah kepada-Mu..


Minggu ini juga membawa banyak makna pada penulis kerana minggu ini juga penulis diberi peluang oleh Allah S.W.T. untuk menziarahi kubur dan keluarga arwah.. Tenangnya penulis dalam memohon rahmat dan redha-Mu.. Ya Allah.. Tenangkan hati ini.. Ku tahu.. perancangan-Mu teramat dan paling baik….


Ku tahu setiap manusia memang tidak dapat lari daripada kebahagiaan dan kedukaan yang Allah S.W.T kurniakan. Cuma yang membezakan tahap keimanan seseorang itu sahaja..

Pada bulan baik ini.. penulis hendak berkongsi cerita juga.. hendak dijadikan cerita.. Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan bertanya mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehidupan. Setiap kali satu masalah selesai, timbul pula masalah baru. Masalah baru selesai, timbul lagi masalah yang lebih baru.. subhanallah..


Ayahnya yang bekerja sebagai tukang masak membawa anaknya itu ke dapur. Dia mengisi tiga buah periuk dengan air dan menjerangkannya di atas api. Setelah air di dalam ketiga periuk tersebut mendidih, dia memasukkan lobak merah di dalam periuk pertama, telur dalam periuk kedua dan serbuk kopi dalam periuk terakhir. Dia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar sambil memikirkan apa yang sedang dilakukan oleh ayahnya. Setelah 20 minit, si ayah mematikan api.

Dia menyisihkan lobak dan menaruhnya dalam mangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya dalam mangkuk yang lain dan menuangkan kopi di mangkuk lain.

Lalu dia bertanya kepada anaknya, "Apa yang kau lihat, nak?" "Lobak, telur dan kopi", jawab si anak. Ayahnya meminta anaknya merasa lobak itu. Dia melakukannya dan berasa bahawa lobak itu sedap dimakan.

Ayahnya meminta mengambil telur itu dan memecahkannya.. Setelah membuang kulitnya, dia dapati sebiji telur rebus yang isinya sudah keras.

Terakhir, ayahnya meminta untuk merasa kopi. Dia tersenyum ketika meminum kopi dengan aromanya yang wangi. Setelah itu, si anak bertanya, "Apa maksudnya semua ini, ayah?" Ayah menerangkan bahawa ketiga-tiga bahan itu telah menghadapi kesulitan yang sama, direbus dalam air dengan api yang panas tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza.

Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan mudah dimakan. Telur pula sebelumnya mudah pecah dengan isinya yang berupa cairan.. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras.

Serbuk kopi pula mengalami perubahan yang unik. Setelah berada di dalam rebusan air, serbuk kopi mengubah warna dan rasa air tersebut. Lalu si ayah bertanya kepada anaknya tersebut."Kamu termasuk golongan yang mana? Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang bakal kamu lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan itu mendatangimu, bagaimana harus kau menghadapinya ?

“Apakah kamu seperti lobak, telur atau kopi ?" tanya ayahnya.

Bagaimana dengan kita ? Apakah kita adalah lobak yang kelihatan keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kita menyerah menjadi lembut dan kehilangan kekuatan. Atau, apakah kita adalah telur yang pada awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang rapuh? Namun setelah adanya kematian, kekecewaan, perpisahan atau apa saja cabaran dalam kehidupan akhirnya kita menjadi menjadi keras dan kaku.

Dari luar kelihatan sama, tetapi apakah kita menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku? Atau adakah kita serbuk kopi? Yang berjaya mengubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasa yang maksimum pada suhu 100 darjah Celcius.

Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi akan terasa semakin nikmat. Jika kita seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk atau memuncak, kita akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan di sekitar kita juga menjadi semakin baik. Samalah halnya dengan serbuk kopi yang berjaya mengubah air panas yang membakarnya menjadikan ia lebih sedap dan enak untuk diminum.


Jadi,antara lobak, telur dan kopi, kita yang mana? Sebaik-baik kejadian di muka bumi ini ialah manusia.Yang diciptakan oleh Allah S.W.T. dalam keadaan yang paling sempurna. Dikurniakan tubuh badan yang mampu memberi pergerakan kepada kita,dikurniakan otak dan akal fikiran untuk menentukan pertimbangan yang baik mahupun sebaliknya, diberikan hati serta perasaan untuk mengasihi dan menyayangi sesama makhluk di bumi ini…


Namun pernahkah kita bersyukur kepada Maha Pencipta?


Pernahkah kita memanfaatkan segala kurniaan-Nya membawa manusia lain ke jalan yang diredhai-Nya?


Bersama dengan penulis, kita renungkan.. Tetapi, pastikan disusuli dengan tindakan.. Ayuh! Bulan yang mulia ini kita tetapkan azam baru.. dan istiqamahkan..insyaAllah..


Sirru’ala barokatillah…